Wednesday, October 27, 2010

Saya berpurdah bukan kerana alim atau H1N1: Rozita - Pengasas Sendayu Tinggi


Saya berpurdah bukan kerana alim atau H1N1: Rozita

Rasanya sudah ramai yang tahu tentang kesusahan lampau saya kerana banyak
majalah menyiarkan cerita itu. Niat saya tiada lain, hanya mahu menjadi
pencetus semangat untuk wanita di luar sana . Biar mereka tahu, sebagai
manusia jangan terlalu mengharapkan orang lain untuk berjaya dalam hidup.

Saya pernah jadi penoreh getah, sambil-sambil itu melakukan bermacam-macam
kerja kampung untuk menampung hidup. Malah pernah juga cuba berniaga kedai
runcit, menyertai MLM dan bekerja kilang.

Apabila berjaya dengan perniagaan Sendayu Tinggi, saya mula sedar manusia
perlu ada tiga sifat jika mahu berjaya. Pertama, mereka mesti mengorak
langkah untuk memulakan perkara kecil dalam diri. Kemudian, jangan pernah
berkata tidak sebelum mencuba kerana tiada apa yang mustahil. Ketiga,
jangan suka menyalahkan orang lain.

Nilai sepuluh sen

Bila sudah berjaya mengumpul kekayaan, tiap-tiap tahun saya pergi umrah.
Ada banyak peristiwa yang dialami di tanah suci namun ada satu pengalaman
yang paling menarik. Ia berlaku ketika saya tidur lalu bermimpi, satu
suara menyuruh saya membaca beberapa ayat daripada surah Al-Baqarah.

Sekembalinya saya ke tanah air, saya terus mencari tafsir Al- Quran. Saya
mendapati antara maksud ayat yang disuruh baca itu ialah mereka yang
mendapat hidayah namun jika memalingkan mukanya, mungkin tiada lagi
hidayah untuknya selepas itu.

Saya memang sudah lama terdetik mahu berganjak ke alam (fasa) lain sebaik
sahaja usia mencecah 40 iaitu membuat persediaan untuk mati. Saya mula
melihat betapa kehidupan di dunia ini sangat singkat, indah dan perlu
dinikmati. Saya sedih mengenang ramai orang yang berjaya dalam perniagaan
tetapi hidup tidak bahagia.

Ketika saya mengejar dunia, hidup dirasakan huru-hara. Pernah saya beli
sebuah kereta dengan harga RM1 juta. Setiap kali tiba di satu-satu tempat,
saya senang melihat banyak mata memandang dan berbisik-bisik kagum. Namun
lama-kelamaan saya tersedar, rasa bangga melihat kekaguman orang itu
menimbulkan perasaan riak dan mahu menunjuk-nunjuk.

Jika syiling sepuluh sen terjatuh, pernah satu ketika saya tidak mahu
mengutipnya semula. Waktu itu saya memikirkan kelas sebagai seorang
jutawan. Tetapi hari ini, saya tidak mahu lagi bersikap begitu. Saya mahu
buang rasa riak, sebab nilai duit sepuluh sen itu besar nilainya pada
sesetengah orang dan tidak patut dibazirkan begitu sahaja.

Saya tidak pandai mengaji dan tidak tinggi ilmu agama. Jadi saya mengupah
seorang ustazah yang tinggal bersama di rumah ini untuk mengajar serta
seorang ustaz untuk berkongsi ilmu agama. Sehari setiap minggu, rumah saya
dibuka untuk orang ramai menyertai majlis ilmu yang dibuat di sini.

Impian saya yang masih belum tercapai ialah membina sebuah kompleks hasil
perniagaan. Di kompleks berkenaan saya mahu membangunkan aktiviti dakwah
di samping memberikan kehidupan kepada fakir miskin menerusi perkongsian
ideologi perniagaan.

Saya tidak mahu golongan susah yang saya bantu ini memandang saya sebagai
sumber kewangan. Saya tidak memberikan mereka 'ikan' tetapi 'pancing'
untuk mengubah kehidupan. Caranya saya beri mereka produk untuk
dipasarkan. Saya juga mengambil kuih, kerepek dan lain-lain daripada
mereka untuk dijual.

Satu lagi impian yang sedang diusahakan, saya mahu bina sebuah rumah
perlindungan untuk anak yatim piatu dan mualaf. Rumah sudah ada, tenaga
pengajar pun tidak ada masalah. Cuma tinggal mencari bayi dan kanak-kanak
untuk dibesarkan dengan pendidikan akademik berserta ilmu agama di rumah
tersebut.

Kini mula berpurdah

Purdah ini sudah lima bulan saya pakai. Bukan sebab alim, dan bukan juga
sebab H1N1. Sebaliknya inilah antara cara saya menjaga hati daripada
dirasuk perasaan riak. Bila mengenakan purdah, tiada orang yang mengenali
saya jadi tiada lagi layanan istimewa yang biasa saya dapat.

Saya tidak malu untuk mengaku, selama ini memang saya pakai tudung tetapi
hati masih kotor. Ini kerana walaupun memakai tudung saya sering kalah
bila syaitan berbisik supaya bersolek setiap kali ke luar rumah sesuai
status selaku pengasas produk kecantikan.

"Kau kenalah pakai baju yang menampakkan kelangsingan, barulah orang tahu
produk kau bagus" - itu juga antara bisikannya yang sering menewaskan
saya. Barangkali ketika itu saya antara wanita akhir zaman yang disebut
dalam hadis 'menutup aurat tetapi masih bertelanjang' .

Sebagai majikan pula, kadangkala saya memarahi pekerja kerana mahu
semuanya serba sempurna. Saya menjadi sungguh takut apabila tersedar dan
berfikir bagaimana pula saya di sisi majikan paling besar iaitu Allah
Taala? Dia pun berhak marahkan saya kerana sungguhpun solat, di mana zikir
dan amalan sunat bagi menyempurnakan lagi amalan kepadanya?

Syukurlah, perubahan yang dibuat melimpahkan bahagia dalam hidup.
Anak-anak (Nurhayati, Alif Syukri, Aiman Hazim, Nurazizah dan Nurain
Sufiyah) dan suami melengkapkan lagi dunia wanita ini.

Kini hari-hari saya lalui sambil meneguk kelazatan ilmu akhirat. Melayan
keletah anak-anak, mengulit orkid, epal Madura, daun kesum, kedondong,
kari, limau purut dan pokok herba lain; juga melayan burung, ayam, lampam,
puyuh, puyu dan tilapia melengkapkan lagi kediaman bak syurga dunia yang
saya gelar Sorga Ammi.

Sesudah solat Subuh, tatkala berdiri di balkoni rumah menyaksikan kabus
berlalu dibawa angin sambil merenung kalam-kalam bukit , saya semakin
yakin betapa perlunya saya bersyukur menjadi hamba yang dilimpahi kasih
sayangNya.

10Q BaCa KisaH "OnE HaPpY FaMilY" Klu RaJin KomENLah sikiT

2 comments:

♥Leily|Ummi Alya Husna♥ said... [Reply]

Alhamdulillah.. Allah telah temukannya ngan NUR yg tiada tolak bandingnya, harap kekal sampai ke mati la..
berpurdah bkn kerna H1N1 ek.., rasa cam lucu lak statement tu.. :P

cha said... [Reply]

sungguh berbekas kat hati.

BloG PerIbaDi-SeGalanYa Hak MiliK aNNa-JuEaNNa